PERJUMPAAN MUHIBBAH BERSAMA NON MUSLIM
BESUT, 4 Julai 2026 – Program Perjumpaan Muhibbah Bersama Komuniti Bukan Islam telah berlangsung dengan jayanya di Masjid Hadhari, Besut, melibatkan penyertaan masyarakat pelbagai kaum termasuk komuniti Siam, Cina dan lain-lain dari sekitar daerah Besut. Program ini merupakan anjuran bersama Masjid Hadhari, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Terengganu, Darul Fitrah dan Gabungan Dakwah Malaysia (GDM) sebagai usaha memperkukuhkan hubungan silaturahim antara masyarakat pelbagai kaum dan agama serta memperkenalkan keindahan Islam melalui pendekatan dakwah yang berhikmah.
Program ini dimulakan dengan persembahan gendang cina tradisional yang sangat mengagumkan oleh para pelajar dari SJK (C) Chung Hwa, Jertih. Antara pengisian utama program ialah sesi perkongsian bertajuk "Keindahan Islam" yang disampaikan oleh Ustaz Ridhuan Tan. Beliau yang berbangsa Cina dan fasih berbahasa Mandarin berjaya menyantuni para peserta dengan pendekatan yang mesra dan mudah difahami. Keupayaan beliau berkomunikasi dalam bahasa Mandarin memberi nilai tambah kepada program apabila peserta dapat berinteraksi secara lebih dekat dan selesa sepanjang sesi berlangsung.
Selain itu, peserta turut mengunjungi pameran yang memaparkan pelbagai maklumat asas mengenai Islam dalam versi Bahasa Inggeris dan Mandarin. Risalah serta pamplet dwibahasa turut disediakan bagi membantu peserta memahami konsep-konsep asas Islam dengan lebih jelas dan berkesan.
Program diteruskan dengan sesi lawatan sekitar Masjid Hadhari yang dikendalikan oleh Ustaz Ridhuan Tan. Dalam sesi tersebut, peserta didedahkan kepada sejarah penubuhan dan latar belakang Masjid Hadhari, di samping mendapat penerangan mengenai fungsi setiap bahagian utama masjid seperti mihrab, mimbar, menara, ruang solat dan kemudahan lain yang menjadi nadi kehidupan umat Islam. Sesi ini memberi peluang kepada peserta memahami fungsi sebenar institusi masjid serta menghapuskan salah faham yang mungkin wujud terhadap Islam.
Majlis diakhiri dengan jamuan makan tengah hari dalam suasana penuh mesra dan harmoni. Kesempatan tersebut dimanfaatkan oleh para peserta untuk berkenalan, bertukar pandangan serta berkongsi pengetahuan mengenai kehidupan masyarakat majmuk dan perbandingan agama di Malaysia.
Program ini membuktikan komitmen penganjur, khususnya Masjid Hadhari yang dipengerusikan oleh Encik Harun bersama MACMA Terengganu yang dipengerusikan oleh Datin Dr. Norhana Abdullah @ Ng Siew Boey, Darul Fitrah dan Gabungan Dakwah Malaysia (GDM) dalam memperkukuhkan usaha dakwah kepada masyarakat bukan Islam melalui pendekatan kasih sayang, dialog, persefahaman dan saling menghormati demi memupuk keharmonian serta perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.
When you subscribe to the blog, we will send you an e-mail when there are new updates on the site so you wouldn't miss them.
Comments